IPOH, 22–24 September 2025 – Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Perak dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) telah berjaya melaksanakan Simulasi Pemulihan Bencana Sistem iSPEKS Perak 2025. Program ini dilaksanakan bagi menguji keberkesanan pelan tindakan pemulihan sistem iSPEKS sekiranya berlaku insiden luar jangka.
Program dimulakan pada 22 September 2025 dengan Sesi Taklimat Simulasi yang diadakan di Kinta Riverfront, Ipoh. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Encik Megat Amirul Zaini Jamalullail bin Megat Jamaluddin, disusuli dengan taklimat oleh Pn Anishah binti Abd Wahid, Timbalan Pengarah Bahagian Khidmat Perunding JANM serta En Muhammad Azhar Fairuzz Hiloh, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Perunding JANM. Sesi ini dihadiri oleh pusat tanggungjawab yg menggunakan Sistem iSPEKS negeri Perak .
Pada 23 September 2025, program diteruskan dengan sesi simulasi integrasi bayaran dan terimaan di persekitaran pusat pemulihan bencana, manakala kemuncaknya pada 24 September 2025 menyaksikan simulasi penuh pemulihan bencana dengan penglibatan menyeluruh semua pusat tanggungjawab yang menggunakan Sistem iSPEKS Negeri Perak.
Simulasi bersepadu ini berjaya dilaksanakan dengan tempoh masa hanya 4 jam 23 minit, sekaligus membuktikan tahap kesiapsiagaan dan kecekapan pasukan dalam memastikan kesinambungan operasi Sistem iSPEKS Negeri Perak.
Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Perak merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen, kerjasama dan sokongan sehingga menjayakan simulasi ini.