KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2025 – Taklimat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) berkaitan Belanjawan Tahun 2026 Negeri Perak telah diadakan di Hotel Aloft Kuala Lumpur Sentral hari ini.
Sesi taklimat tersebut telah dipengerusikan oleh YAB. Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, dengan tujuan untuk membentangkan deraf Belanjawan Negeri Perak Tahun 2026 serta mendapatkan pandangan dan input daripada YB Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) sebelum pembentangan rasmi diadakan dalam Sidang Dewan Negeri Perak yang akan datang.
Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Penasihat Undang-undang Negeri, YB Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak, serta pegawai-pegawai kanan dari Pejabat Menteri Besar, Pejabat Kewangan Negeri, Bahagian Dewan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan serta UPEN.
Melalui sesi taklimat ini, Kerajaan Negeri Perak menekankan kepentingan perancangan belanjawan yang inklusif, berimpak tinggi dan berpaksikan kepada keperluan rakyat, sejajar dengan hasrat untuk memperkukuh ekonomi negeri dan memastikan kesejahteraan rakyat Perak terus terpelihara sejajar dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.
