
KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2025 – Mesyuarat Jawatankuasa Meningkatkan Hasil Kerajaan Negeri Perak yang diadakan hari ini merupakan mesyuarat tahunan yang menjadi platform utama membincangkan isu-isu strategik berkaitan hasil di peringkat pengurusan tertinggi negeri.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Perak itu turut dihadiri oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Pegawai Kewangan Negeri, serta ketua-ketua jabatan utama termasuk Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Ketua Unit Pelaburan, dan Ketua Unit Hasil.
Dalam mesyuarat tersebut, YAB Pengerusi menekankan kepentingan memastikan hala tuju gerak kerja hasil negeri terus seiring dengan dasar dan inisiatif di peringkat Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam memperkukuh pengurusan fiskal dan meningkatkan daya tahan ekonomi negeri.
Sehubungan itu, YAB Pengerusi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jabatan pemungut hasil negeri, khususnya Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak (PTG), Pejabat Kewangan Negeri Perak, dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak yang merupakan penyumbang utama kepada hasil negeri.
Untuk rekod, kutipan hasil Kerajaan Negeri bagi tahun 2024 berjumlah RM1.33 bilion, menunjukkan prestasi cemerlang hasil usaha gigih semua jabatan. Bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM1.4 bilion, iaitu peningkatan 12.7% berbanding sasaran tahun sebelumnya.
Sehingga 30 September 2025, kutipan hasil negeri telah mencapai RM1.01 bilion, bersamaan 71.9% daripada sasaran tahunan,“Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Ilahi atas pencapaian awal ini yang menyaksikan hasil negeri berjaya mencecah RM1 bilion sebelum 1 Oktober 2025,” ujar YAB Menteri Besar.
Dalam pada itu, Pejabat Kewangan Negeri kini sedang memuktamadkan anggaran hasil bagi tahun 2026 untuk dibentangkan dalam Belanjawan Negeri Perak 2026 yang bakal diumumkan tidak lama lagi.
